Breaking

12 October 2020

6 sekolah di Taiping ditutup susulan kes covid19

 

Enam sekolah di daerah Larut Matang Selama (LMS) ditutup seminggu bermula esok susulan terdapat kes positif COVID-19 membabitkan kakitangan sekolah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria, berkata, sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Edward VII, SMK (P) Treacher Methodist, SMK Bukit Jana, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Jana, SK Convent Kota dan SK Ulu Mengkuang.

Razman berkata, penutupan enam sekolah itu selari dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah pencegahan awal bagi mengurangkan risiko penularan wabak.

"Langkah ini perlu diambil bagi mengelakkan perkara tidak diingini, apatah lagi kedudukan enam sekolah hampir dengan kawasan pusat tahanan perlindungan di Taiping yang mempunyai rekod jangkitan COVID-19," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

 

Beliau bagaimanapun menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya tidak panik dan mematuhi segala arahan dikeluarkan pihak sekolah.

Katanya, semua warga dan pengurusan sekolah di negeri ini perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan amalan kebersihan dipatuhi.

"Kita akan terus memantau situasi ini dari semasa ke semasa selain meminta warga sekolah segera melaporkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing sekiranya berlaku penularan COVID-19," katanya.

 

sumber : BHarian

No comments: